Daun Pegaga Paling Berkhasiat.
Berita Harian (Wanita dan Keluarga): 15/8/01
AISHAH ALI, 56, juga dikenali sebagai Ibu dari, dari Seksyen 18, Shah Alam memang menggemari daun pegaga, kacang botor, peria katak, jantung pisang, nangka muda, pucuk gajus dan pelbagai macam daun yang boleh dijadikan ulam.
Sejak kecil, beliau diajar neneknya memakan ulam dan ada pelbagai resepi mengenai ulam yang enak dimakan mentah ataupun sebagai bahan memasak.
"Nangka muda boleh direbus, begitu juga daun putat tetapi dalam pelbagai daun, daun pegaga paling berkhasiat," katanya.
Ini kerana daripada daun pegaga ke akarnya pegaga banyak khasiat yang boleh dibuat ulam dan dijadikan jus minuman.
"Apabila membuat jus,kisar daun dan akarnya sekali. Seikat daun pegaga dicampur segelas air panas dikisar dan ditapis sebelum dicampur gula batu boleh menjadi tonik untuk kecergasan khususnya wanita dalam pantang. Hampasnya pula boleh dijadikan pencuci muka dengan meyapu dan berselawat tiga kali," katanya.
Katanya, selain awet muda, ulam menjadi pelawas. Pandai mengurut, Ibu Aishah menggunakan daun kayu dalam rawatannya. Daun mengkudu digunakan untuk membalut perut wanita selepas bersalin selain asam jawa dan kapur selepas berurut.
Azizah Jaafar,43, mengakui sayur-sayuran segar enak dijadikan ulam dan menjadi amalan keluarganya makan masakan tanpa menambah perisa makanan. Apabila makan makanan yang ditambah perisa makanan, keluarganya akan sakit perut.
Cuma beliau pastikan ketika bersalin dia berpantang dan menjaga makan.
"Saya tidak berpantang membuta-tuli dengan mengikut larangan orang tua tidak memakan itu dan ini serta mengurangkan minum air. Sayuran yang kelat, saya makan tetapi tidak seperti timun dan terung yang diketahui berangin dan sejuk, saya akan jauhkan," katanya.
Walaupun ulam bukan kemestian pada hidangan seharian, Azizah mendapati nenek yang gemar makan ulam dan mandi dengan air sejuk setiap hari, tampak segar dan sihat.
Amalan itu perlu diajar kepada anak supaya mereka terbiasa memakan ulam, cuma elakkan mereka mengambil daun kertum (Mitragyna speciosa) sebagai ulam kerana ia boleh memberi kesan negatif.
Berdasarkan pemerhatian Sangun Sun Wanlert Md dari Hospital Sritthnya Nandhaburi, Thailand, kesan jangka panjang daun kertum yang diambil secara serbuk, air atau makan secara ulam, mulanya memberikan kesan baik tetapi lama kelamaan membuatkan seseorang itu kelihatan seperti mengidap penyakit hati, berbadan kurus dan gelap seta cengkung pipi.
Daun itu boleh menyebabkan ketagihan melampau yang menjadi punca penyakit sakit otot, pergerakan lambat, air liur meleleh dan hidung berair.
Thailand sudah mewartakan daun ketum sebagai bahan dadah berbahaya sejak 1943.