Kaduk ulam berkhasiat
Walaupun Pameran Ulam dan Peram di Muzium Negara, Kuala Lumpur berlangsung selama sebulan sehingga 6 Ogos lalu, namun begitu ramai yang tidak berkesempatan mengunjunginya.
Pameran itu yang turut memaparkan khasiat dan keunikan setiap ulaman sebenarnya signifikan kepada setiap orang terutama mereka yang menjadi penggemar ulam atau pengamal perubatan berasaskan herba.
Mungkin ramai yang menganggap ulaman sekadar pembuka selera dan sebahagian perisa makanan atau masakan sedangkan kebanyakannya turut mempunyai khasiat tersendiri.
Kepada mereka yang terlepas peluang mengunjungi pameran itu, Mingguan akan menyiarkan khasiat beberapa ulaman tradisional tempatan sepanjang tempoh beberapa minggu ini.
Bermula dengan paparan khasiat petai pada keluaran dua minggu lalu dan diikuti jering, kali ini anda didedahkan pula dengan kelebihan ulam KADUK atau nama saintifiknya Piper sarmentosum Roxb.
Ulam jenis sayur ini mungkin sudah begitu dikenali, terutama di kalangan orang Melayu yang menjadikannya sebagai perisa atau campuran gulai masak lemak dengan ikan bilis.
Ia turut dikenali sebagai SIRIH DUDUK dan dikatakan menjadi pembuka selera apabila direbus atau dicelur dan dimakan bersama-sama sambal belacan.
Pucuk serta daun kaduk juga selalu dimakan mentah sebagai kerabu iaitu selepas ia diracik-racik halus.
Kurator Muzium Negara, Zainal Abidin Jamaluddin memberitahu, kaduk dari keluarga tumbuhan Piperraceae merupakan herba jenis memanjat yang terdapat di kawasan iklim panas.
Katanya, daunnya lembut berbentuk bujur bulat, nipis, berwarna hijau tua, berkilat dan berselang-seli manakal bunganya banyak, padat, sangat kecil dan tersusun rapat.
"Pokok herba menjalar ini banyak terdapat di China sehingga ke Borneo, Semenanjung Malaysia dan Kepulauan Jawa.
"Ia hidup meliar terutama di kawasan teduh, lembap atau di bawah sudur pokok lain manakala penanamannya menggunakan kaedah keratan batang," katanya kepada Mingguan.
Menurut Zainal Abidin, daun kaduk atau sirih duduk tidak pahit sebaliknya ia memiliki rasa yang tersendiri dan mempunyai nilai perubatan tradisional.
Kata beliau, air rebusan daunnya yang diminum berkhasiat untuk mengubati lemah-lemah, lenguh dan bisa badan di samping melegakan sakit tulang.
"Selepas menikmati kelazatan daun kaduk direbus bersama sambal belacan, air rebusannya pula boleh terus diminum begitu saja.Untuk mendapatkan khasiat sebenarnya, pastikan anda tidak merebus terlalu lama, memadai sehingga ia menggelegak," jelas Zainal Abidin.
Tambah beliau, daunnya yang telah ditumbuk pula boleh digunakan untuk melegakan sakit kepala dan ubat panau iaitu dengan menggosokkannya ke kulit yang dijangkiti.