Buang Angin Dengan Buas-Buas (Premma Cordiflora)
(Sumber: Mingguan Malaysia, 1 Julai 2001)Masalah angin dalam badan sering dihadapi oleh kebanyakan orang terutama golongan tua. Namun orang muda tidak terkecuali daripada gejala itu jika mereka tidak mengawal pemakanan. Angin dalam badan menimbulkan keadaan tidak selesa kepada seseorang. Malah dalam keadaan tertentu, ia mungkin menyakitkan. Anda tentu pernah mengalami keadaan berasa lesu dan sengal pinggang atau kembung perut. Antara makanan yang selalu dikaitkan dengan masalah angin ialah ubi, bubur kacang, pulut dan sayur-sayuran tertentu. Namun ia bergantung juga kepada tahap kesihatan dan kelancaran peredaran darah seseorang. Selalunya, pesakit akan mendapatkan khidmat tukang urut untuk membuang angin dalam badan atau memakan air bercampur halia atau the herba.
Minggu ini herba pilihan, buas-buas atau bebuas dengan nama saintifiknya Premma cordiflora dari keluarga tumbuhan verbenaceae juga berguna untuk membuang angin. Pegawai Pusat Sumber Genetik Tumbuhan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manaf memberitahu, untuk membuang angin, pesakit hanya perlu memakan pucuk daun buas-buas. Sebagai langkah pencegahan daripada sakit angin dalam badan, seseorang boleh menjadikan pemakanan pucuk daun sebagai amalan seperti memakan ulam-ulaman. Selepas memakan pucuk buas-buas, anda akan merasakan kesannya dalam tempoh yang terdekat. Ia juga befungsi mengimbangkan pemakanan dengan menghindari seseorang daripada masalah angin dalam badan, katanya.
Selain itu, tambah beliau, rebusan seluruh pokok buas-buas boleh mengatasi masalah cacing, menambah susu ibu dan menghilangkan bau hanyir ikan. Untuk masalah cacing yang dialami oleh kanak-kanak, berikan mereka minum secawan air rebusan pokok buas-buas. Manakala untuk menamahkan susu ibu, mereka boleh meminumnya pada peringkat pada peringkat awal secawan setiap hari, jelas Tajuddin.