Ubat Tradisional Tawan Pasaran

Orang ramai kini beralih semula kepada ubat-ubatan tradisional khususnya mengunakan herba kerana yakin ia dapat menyembuhkan penyakit dengan lebih berkesan di samping tidak menberi kesan sampingan.

Aliran ini bertambah ketara dengan pertumbuhan pesat pengeluaran ubatan tradisional secara komersil dalam bentuk yang lebih mudah dimakan seperti kapsul dan tablet berbanding akar kayu dan serbuk sebelum ini.

Malah, keadah pemasaran secara jualan langsung menarik minat dan memudahkan penggunan untuk mendapatkan produk berkenaan, selain memberi pulangan lumayan dari aspek kewangan kepada yang menyertai perniagaan jualan langsung itu.

Selain produk yang berasaskan akar kayu dan herba seperti tongkat ali dan pucuk pegaga, ubatan tradisional berasaskan hidupan lain seperti susu kambing dan gamat turut membanjiri pasaran pada masa ini.

Kemujaraban bahan ini bukanlah satu kepercayaan baru malah ia sudah diterima dan diamalkan sejak zaman berzaman, baik oleh masyarakat Melayu, Cina mahupun India.

Tongkat Ali atau nama saintifiknya Eurycoma longifolia, dipercayai dapat memperbaiki pengedaran darah selain digunakan untuk rawatan pening kepala, luka dan kurap. Tetapi ia lebih dikenali sebagai ubat merawat atau merangsang seksual lelaki sehinggakan fungsi itu sinonim dengannya.

Namun sejajar dengan perkembangan dunia perubatan serta sains dan teknologi, kajian secara saintifik yang dilakukan keatasnya menunjukkan bahan itu memberi kesan antimalaria dan sitotoksik terhadap beberapa panel sel kanser payu dara, paru-paru dan kulit.

Pada masa ini, kajian mengenai Tongkat Ali giat dijalankan institusi pengajian tinggi dan penyelidikan tempatan seperti Sekolah Sains Farmaseutikal, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), InstitusiTeknologi Mara (ITM), Biro Farmaseutikal Kebangsaan dan Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) serta pengamal dan pembekal pelbagai penyediaan tongkat ali di negara ini.

Pegaga atau nama saintifiknya Centella asiatica diamalkan dalam pemakanan seharian sebagai ulam kerana dipercayai dapat membailki peredaran darah kerana khasiat ini jugalah maka ia digunakan sebagai salah satu ramuan penting bagi wanita yang baru bersalin untuk melancarkan peredaran darah dan memulihkan kelesuan.

Bagaimana kajian saintifik yang dijalankan ke atas bahan aktifnya yang digunakan untuk perawatan campuran dengan herba lain dikatakan berupaya mengurangkan atau merawat pelbagai penyakit jenis saraf termasuk Parkinson, asma, kanser, siflis, Hepatitis B dan sakit buah pinggang.

Selain tongkat ali, kebanyakan pengeluarubatan tradisional sama ada yang berasaskan herba atau hidupan lain juga mendakwa sudah melaksanakan kajian saintifikterhadap produk mereka.

Kebaikan susu kambing umpamanya dikatakan sudah terbukti sejak beribu tahun dulu yang mana ia digunakan sebagai bahan mandian oleh Permaisuri Empayar Caeser yang terkenal dengan kecantikannya, Cleopatra.

Kajian saintifik yang dijalankan dari masa ke masa bagaimanapun menemui pelbagai rahsia tambahan susu kambing. Ia didapati berfungsi lebih baik daripada susu lembu (walaupun tidak sebaik susu badan) dengan membekalkan kalsium, protein dan vitamin yang mencukupi bagi membantu pembentukan rangka yang normal dan tumbesaran lebih pantas.

Bahan yang disebut di atas hanyalah sebahagian kecil daripada bahan tradisional yang dikomersilkan.

Sama ada ia berasal daripada herba mahupun hidupan lain, pengeluaran dan pemasaran bahan itu kini disertai kajian saintifik yang menyingkap rahsia kandungan bahan aktif yang merangsang atau memulihkan sistem badan selain merawat.

Source: Berita Harian, 7 / 6 / 2000