Produk Herba Tradisi Tembusi Pasaran Dunia
Produk herba tradisi tempatan akan memperoleh penembusan lebih baik dalam pasaran dunia sebaik sahaja Malaysia diterima sebagai anggota Skim Kerjasama Pemeriksaan Farmasi (PICS) dunia. Malaysia yang telah berjaya melepasi tahap pertamanya berharap dapat menyertai PICS dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.
Mohd. Zin Che Awang, pengarah Biro Kawalan Farmasi Negara Kementerian Kesihatan berkata Malaysia ketika ini mengimport 49 peratus daripada produk herba manakala bakinya dihasilkan di dalam negeri.
Satu-satunya anggota Asia lain dalam persatuan pemeriksa farmasi dunia yang berpangkalan di Eropah itu adalah Singapura, katanya di sini, hari ini, untuk mengumumkan misi penyelidikan kedua MIGHT (Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia) bagi produk herba ke AS.
Mengenai pengiktirafan Malaysia, beliau berkata Malaysia mendapat pujian bagi prosedur keselamatan dan kualitinya kerana ia adalah satu-satunya negara di dunia ini yang mendaftar dan mengawal produk perubatan tradisional sebelum diedarkan ke pasaran terbuka.
Sehingga kini sejumlah 8,500 produk tradisional telah didaftarkan. Bagaimanapun, beliau berkata banyak produk tradisional tempatan tidak tertakluk kepada penyelidikan saintifik.
Sementara itu, pasaran domestik Malaysia bagi produk herba dikatakan mempunyai nilai tahunan RM2.5 hingga RM3 bilion, tetapi industri tempatan menyediakan hanya antara 5 hingga 10 peratus daripada nilai pasaran.
Dr. M. Rajen daripada Alterni (M) Sdn. Bhd. berkata Malaysia mempunyai produk herba yang diadun daripada tiga budaya Melayu, Cina dan India.
Sementara itu, Ketua Eksekutif MIGHT, Ahmed Tasir bin Lope Pihie berkata kumpulan itu akan mengedarkan semula Pelan Tindakan Terperinci (Blueprint) Produk Herba Nasional kepada orang awam tidak lama lagi.
Beliau menyatakan MIGHT akan memegang 100 peratus ekuiti dalam Malaysian Herbal Corporation Sdn Bhd (MHC), sebuah syarikat yang ditubuhkan berikutan cadangan utama daripada pelan induk itu. Bagaimanapun, MIGHT akan masih mengekalkan perkongsian perniagaannya dengan anggota pengasas lain syarikat yang termasuk Total Health Concept Sdn Bhd, FA Herbs Sdn Bhd, Herbal Science Sdn Bhd dan Clara International Beauty Group.
Dipetik dari Utusan Malaysia 24 Februari 2001